Recent Posts

Khamis, 10 April 2008

Telur ancam nyawa lelaki


* Korang ni biawak ke manusia? hahahaha...

Kajian mendapati pengambilan lapan biji seminggu berisiko maut


WASHINGTON: Awas, berita buruk bagi lelaki berusia pertengahan berikutan hasil kajian terbaru mendakwa golongan itu yang memakan lebih tujuh biji telur seminggu, berisiko untuk mati awal.

Sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat dalam kajian 20 tahun itu, mendakwa lelaki yang menghidap kencing manis pula berisiko mati awal tanpa mengira bilangan telur yang dimakan.

Kajian disiarkan edisi terbaru American 'Journal of Clinical Nutrition' itu hanya menokok bukti, kebanyakannya bertentangan dengan betapa selamatnya pengambilan telur. Ia tidak pula menyatakan punca atau bagaimanapun kaitan telur dengan risiko meningkatkan kematian.

"Lelaki bukan penghidap kencing manis boleh makan sehingga enam biji telur tanpa sebarang risiko kematian. Tetapi, tindakan memakan lebih daripada tujuh telur seminggu dikaitkan dengan 23 peratus risiko untuk mati," tegas penyelidik Fakulti Perubatan Harvard, Dr Luc Djousse dan Dr J. Michael Gaziano.

"Bagi lelaki yang menghidap kencing manis, berapa banyak pun telur yang dimakan boleh meningkatkan risiko kematian seperti akibat sakit jantung dan serangan angin ahmar dalam tempoh 20 tahun."

Kajian Universiti Harvard itu amembabitkan 21,327 lelaki yang menemui doktor sejak 1981 dan bersetuju menyertai penyelidikan bagi mendekati gaya hidup mereka.

Sejak 20 tahun lalu, 1,550 lelaki terbabit didapati mengalami masalah serangan jantung, 1,342 mengalami angin ahmar dan lebih 5,000 daripada mereka mati.

"Pengambilan telur tidak dikaitkan dengan serangan jantung atau angin ahmar. Tetapi, lelaki yang makan lebih tujuh biji telur seminggu mempunyai risiko 23 peratus untuk mati dalam tempoh 20 tahun."

Responden yang memakan lebih banyak telur juga didapati lebih gemuk, tua. Makan banyak sayur tetapi kurang bijirin ketika sarapan, minum arak, kurang merokok dan bersenam juga yang memberi kesan kepada risiko serangan jantung dan kematian.

Penyelidik itu bagaimanapun menggesa kajian lebih menyeluruh berhubung dakwaan itu.

Telur sememangnya diketahui kaya dengan kolesterol. Malah, kolesterol tinggi boleh menyebabkan saluran darah tersumbat dan meningkatkan risiko serangan jantung dan angin ahmar.

Seorang pakar pemakanan dan sakit jantung, Dr Robert Eckel yang juga bekas Presiden Persatuan Jantung Amerika, berkata penyelidik perlu memantau telur yang mereka makan.

"Lebih banyak telur? Sukar sebenarnya untuk menyatakan kesan sebenarnya pada masa ini. Tetapi, jika anda sendiri seorang doktor berusia pertengahan dan gemar memakan telur sebiji sehari, anda perlu fikirkan mana yang anda mahu - memakan telur atau telur dibaling pada muka anda," katanya dengan nada sinis.

"Telur seperti juga makanan lain ada baik dan buruknya. Ia juga boleh menjadi sebahagian daripada diet pemakanan yang seimbang," katanya dalam rencana tulisannya bagi mengulas hasil kajian berkenaan. - Reuters

0 pendapat: