Recent Posts

Jumaat, 9 Mei 2008

Putik kapas memampatkan tahi telinga, bukan membersihkannya

SEIRING dengan perkembangan kemajuan negara, masyarakat Malaysia juga semakin mengambil berat dalam soal penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.


Limpahan produk di pasaran boleh dikatakan lebih daripada mencukupi. Apa yang menarik perhatian untuk saya kongsi di sini ialah berhubungpenggunaan putik kapas (cotton bud) sebagai alat untuk membersihkan telinga.

Berdasarkan pengalaman mengendalikan klinik telinga, hidung dan tekak, masalah pesakit yang datang dengan kurang deria dengar boleh dikatakan ada setiap hari.

Mereka terdiri daripada yang berusia seawal baru lahir sehingga warga emas, punca yang pelbagai juga dikesan menjadi sebab berlakunya masalah ini.

Salah satu punca yang boleh diatasi dan didapati kerap berlaku di kalangan pesakit kurang dengar ialah masalah saluran telinga luar yang tersumbat dengan 'tahi telinga' atau lebih tepat lagi lilin telinga (earwax) yang telah mampat.

Melalui soal selidik yang dijalankan, majoriti jika tidak kesemua daripada mereka mengakui menggunakan putik kapas secara rutin dan berterusan.

Mereka atau kita juga mungkin beranggapan putik kapas yang digunakan akan dapat membersihkan saluran telinga daripada lilin telinga yang terhasil secara fisiologi.

Di sinilah timbulnya kesilapan. Putik kapas yang digunakan sebenarnya menolak lilin telinga masuk lebih ke dalam dan hanya sedikit yangmelekat padanya dan dikeluarkan.

Sedangkan, saluran telinga kita telah dicipta lengkap dengan mekanisme rerambut halus yang berfungsi dalam gerakan ke arah keluar telinga bagi mengeluarkan lilin yang berlebihan.

Penggunaan putik kapas dalam gerakan ke dalam yang melawan arus fisiologi akan menyebabkan kegagalan fungsi normal ini dan seterusnya menyebabkan sedikit demi sedikit lilin telinga akan tertolak semakin ke dalam, termampat ke arah gegendang telinga dan seterusnya mengganggu konduksi bunyi dari punca rangsangan. Keadaan ini disebut gangguan
pendengaran jenis konduktif (conductive hearing loss).

Satu lagi masalah yang timbul daripada penggunaan putik kapas ialah ada kemungkinan bahagian kapasnya tertanggal dan tertinggal di dalam saluran telinga. Ini juga akan mengganggu pendengaran. Jika terbiar lama akan mengundang jangkitan kuman pula.

Selaras dengan slogan 'mencegah lebih baik daripada merawat', marilah sama-sama kita menjaga kebersihan dan kesihatan diri dengan mendalami ilmu yang sahih daripada autoriti yang tepat.

Kita telah dicipta dengan sebaik-baik keadaan dan sifat, justeru menjadi tanggungjawab kitalah untuk menjaganya dengan selamat.


- DR. IRFAN MOHAMAD,
Jabatan ORL-HNS (ENT),
Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Apa yang boleh anda laku

  • Gunakan titisan pelembut lilin telinga.
  • Jangan gunakan putik kapas
  • Jika menggunakan pengering rambut, jangan halakan ke arah telinga. Ia mungkin akan mengeraskan lilin telinga.
  • Jangan cungkil dengan penyepit atau apa-apa benda yang tajam untuk mengelakkan dari kecederaan gegendang telinga.
  • Jangan cuba menyedut lilin telinga, kemungkinan bahagian tengah telinga akan terkena jangkitan kuman dan kecederaan pada gegendang telinga..
  • Jumpa doktor jika anda syaki ada banyak tahi telinga.

Anak Perak : Forwarded

Artikel berkaitan : Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun yang disangka pekak dapat mendengar kembali setelah putik kapas keluar dari telinganya. Artikel asal disini.

Link berkaitan, sila klik disini.

1 pendapat:

di mana boleh sy jumpa tempat yg bntu mmbersihkan tahi telinga ini?