Recent Posts

Selasa, 6 Mei 2008

Guru bersila, murid meniarap

KOTA KINABALU 5 Mei - Kementerian Pelajaran diminta segera bertindak mengatasi kedaifan kemudahan di beberapa sekolah di Kalabakan, berikutan ada murid yang terpaksa meniarap semasa belajar kerana ketiadaan kerusi dan meja.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, suasana pembelajaran murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kalabakan itu amat menyedihkan dalam arus kemajuan pendidikan negara hari ini.

Menurut beliau, selain murid yang terpaksa meniarap, guru-guru yang mengajar di sekolah tersebut juga terpaksa bersila kerana ketiadaan kemudahan asas itu.

"Sekolah ini tidaklah terlalu jauh di pedalaman, hanya kira-kira 60 kilometer dari bandar Tawau, tetapi tidak tahu di mana silapnya apabila kebajikan mereka diabaikan.

"Keadaan ini amat merunsingkan saya sebagai wakil rakyat. Apakah ini generasi yang mahu kita lahirkan sebagai pemimpin akan datang," katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Hamisa yang juga Ketua UMNO Wanita Bahagian Kalabakan berkata, selain murid tahun satu itu, beliau juga melihat sendiri bagaimana pelajar tahun empat sekolah yang sama menulis beralaskan paha kerana hanya mempunyai kemudahan kerusi.

Katanya, hasil lawatan ke sekolah tersebut pada Mac lalu itu juga, beliau difahamkan pihak sekolah telah mengemukakan masalah tersebut kepada Jabatan Pelajaran Negeri tetapi tidak ada tindakan yang diambil.

Beliau memberitahu, dalam lawatan ke SK Tanjung Batu Darat pula yang hanya terletak kira-kira 20 minit dari bandar Tawau, didapati air hujan bertakung menenggelamkan kawasan sekolah menyebabkan murid dan guru berhadapan dengan suasana pembelajaran yang cukup tidak selesa.

"Suasana pembelajaran, kemudahan awam dan bangunan sekolah masih ada lagi yang sangat uzur dan tidak layak dipanggil sekolah dalam keadaan negara sudah 51 tahun merdeka.

"Kerajaan kita membelanjakan berpuluh juta ringgit setahun di bawah Kementerian Pelajaran untuk menaik taraf kemudahan pembelajaran, tetapi persoalannya mengapa masih ada sekolah yang tertinggal dengan masalah kecil seperti ini," katanya.

Tambah beliau, apa yang dikesalkan ialah sekolah-sekolah terbabit merupakan sekolah bantuan penuh kerajaan yang sepatutnya mendapat perhatian dan tindakan segera pihak berkaitan.

Terdahulu semasa membahas usul terima kasih di atas ucapan dasar Yang Dipertua Negeri, Hamisa berkata, banyak isu mengenai prasarana pendidikan di luar bandar perlu segera ditangani oleh Kementerian Pelajaran.

Katanya, antara isu tersebut termasuk ketiadaan padang untuk aktiviti kokurikulum, kawasan berdekatan bukit-bukau menyebabkan pelajar dalam keadaan tidak selamat, pelan pembinaan sekolah tidak teratur serta kawasan tidak berpagar.

Anak Perak : Dah 50 tahun merdeka masih ada lagi? apa yang tak kena???

0 pendapat: