Recent Posts

Ahad, 18 Mei 2008

Apa yang perlu tahu tentang strok

JIKA anda dapati muka tiba-tiba herot sebelah atau pertuturan menjadi tidak jelas, anda mungkin diserang strok.

Pesanan pendek harian dari Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (Nasam) yang disiarkan melalui pelbagai stesen radio tidak harus dipandang sepi kerana penyakit ini boleh menyerang sesiapa saja pada bila-bila masa.

Strok atau angin ahmar dikenal pasti punca ketiga paling lazim kematian dan penyebab utama ketidakupayaan di negara kita. Bagi setiap 100,000 penduduk, kadar serangan strok ialah 200 kes dengan jumlah kematian antara 100 hingga 200 kes.

Apa yang menyebabkan strok? Penyebabnya sama seperti serangan jantung, iaitu berlaku gangguan pada aliran darah. Bezanya hanya lokasi; jika gangguan aliran darah berlaku di jantung, ia dinamakan serangan jantung, dan jika ke otak, seseorang itu akan mengalami strok.

Menurut Perunding Neurologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Ng Wai Keong, strok juga dipanggil serangan otak. Gangguan aliran darah berlaku apabila salur darah tersumbat atau pendarahan di otak akibat salur darah pecah — kedua-duanya disebabkan pengumpulan plak kolesterol dalam salur darah.

Seperti serangan jantung, strok juga penyakit serius yang perlukan rawatan kecemasan. Pesakit perlu sampai ke hospital secepat mungkin dalam masa 60 minit selepas berlaku serangan (mengalami gejala) supaya dapat diberi rawatan pencegahan kehilangan keupayaan.

Strok dibahagi kepada dua jenis. Jenis paling lazim dipanggil strok iskemik (disebabkan salur darah tersumbat) dan strok hemoragik atau pendarahan (akibat salur darah otak pecah dan berdarah).

Mengapa serangan strok boleh menyebabkan seseorang pesakit hilang upaya? Ini kerana apabila aliran darah ke otak terganggu atau tersekat, sel otak akan kekurangan oksigen. Lama kelamaan sel otak pada bahagian berkenaan mati dan gagal berfungsi.

Setiap bahagian otak mengawal fungsi berbeza dan ini sebabnya serangan strok boleh mengakibatkan seseorang menjadi lumpuh separuh atau seluruh badan, kehilangan keupayaan berjalan, menggerakkan tangan, mengalami masalah berfikir, kemahiran berbahasa dan bercakap atau menelan makanan.

Masih ramai percaya serangan strok tidak boleh dielak. Anggapan ini tidak benar kerana strok menunjukkan tanda amaran awal. Antaranya ialah:

  • Penglihatan sebelah atau kedua-dua mata menjadi kabur secara tiba-tiba.
  • Kebas, lemah atau lumpuh pada muka, tangan atau kaki. Boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah badan.
  • Pertuturan menjadi sukar dan susah memahami percakapan orang lain.
  • Pening, hilang keseimbangan dan koordinasi.
  • Sukar berjalan atau jatuh tanpa sebab.
  • Sakit kepala (biasanya sangat teruk dan secara mendadak) tanpa sebab.
  • Berlaku perubahan jenis sakit kepala yang tidak dapat dikenal pasti.


Oleh kerana serangan berlaku pada otak, pesakit biasanya tidak sedar mereka mengalami strok. Malah, orang di keliling anda juga mungkin tidak perasan.

Namun jika diteliti, perubahan ini boleh dilihat atau dirasai dengan jelas. Ini sebabnya semua orang perlu tahu tanda strok supaya tindakan segera boleh diambil.

“Jika mengalami mana-mana gejala strok, segera berjumpa doktor atau dail 999 untuk bantuan ambulans. Bertangguh dengan harapan tanda itu hilang sendiri hanya memburukkan keadaan kerana tindakan ini sebenarnya memberi peluang lebih banyak sel otak rosak dan mati.

“Masih ramai beranggapan strok tidak dapat dielak dan dirawat. Ini tidak benar kerana strok antara penyakit yang boleh dicegah. Malah, rawatan yang ada kini membolehkan pesakit sembuh pada kadar lebih baik.

“Kadar penyembuhan juga berbeza. Ada orang boleh sembuh sehingga 90 peratus. Satu perkara perlu diingat ialah, penyembuhan untuk pesakit strok adalah proses yang berterusan sepanjang hayat. Lebih cepat pesakit dirawat, peluang untuk sembuh lebih tinggi,” katanya ketika forum kesihatan umum anjuran Pusat Perubatan Sunway.

Antara kerosakan akibat strok ialah:

  • Kehilangan deria rasa dan kekuatan.
  • Gangguan kemampuan membaca dan melihat.
  • Hilang upaya fizikal, terutama muka dan tangan.
  • Gangguan pada pertuturan.
  • Susah menelan makanan.


Siapa yang boleh mendapat serangan strok?

Dulu strok dianggap sebagai penyakit orang tua kerana risikonya meningkat dengan pertambahan umur, tetapi kini berbeza kerana ia turut menyerang golongan muda, termasuk berumur belasan tahun dan awal 30-an.

Bagaimanapun, dalam kajian perbandingan dengan penduduk Australia, didapati lebih ramai penduduk Malaysia menghidap strok pada usia lebih muda iaitu 25 peratus bagi lingkungan umur 51 hingga 60 tahun berbanding hanya 12 peratus untuk penduduk negara berkenaan.

Malah, bagi lingkungan umur 61 hingga 70 tahun, peratusan pesakit strok Malaysia juga lebih tinggi (34 peratus) berbanding 26 peratus penduduk Australia (rujuk Jadual 1). Bagi individu yang ada ahli keluarga diserang strok, mereka juga berisiko tinggi mengalami masalah sama.

Namun, banyak faktor risiko lain boleh dikawal untuk mengelak strok seperti

  • Tekanan darah tinggi. Ramai tidak sedar mereka ada masalah tekanan darah tinggi kerana ia tiada tanda. Tekanan darah yang terlalu tinggi meningkatkan risiko strok sebanyak enam kali. Justeru, luangkan sedikit masa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik kerajaan atau ketika pameran kesihatan. Kawalan tekanan darah adalah langkah pencegahan paling penting untuk mengelak strok.
  • Kencing manis. Kawal paras gula dalam darah supaya sentiasa dalam julat sihat. Kencing manis boleh menjadi perangsang kepada serangan strok.
  • Merokok. Jika anda merokok, berhenti sekarang. Memang payah untuk berhenti merokok, tetapi ada ramai doktor di klinik berhenti merokok yang sentiasa bersedia membantu anda. Merokok meningkatkan risiko strok dua kali ganda.
  • Pernah mengalami serangan strok (sama ada iskemik atau berdarah). Jika pernah mengalami serangan strok, risiko anda mengalami serangan kedua sangat tinggi, iaitu 10 kali ganda. Anda perlu mengubah cara hidup, menjalani gaya hidup sihat, jaga makan dan kerap bersenam untuk mengurangkan risiko ini.


Rawatan dan pemulihan

Siapa kata pesakit strok tidak boleh pulih? Pesakit strok boleh pulih sepenuhnya, namun kadar pemulihan bergantung kepada sokongan dan kerjasama keluarga serta kesungguhan pesakit.

Perunding Perubatan Pemulihan, Pusat Perubatan Sunway, Datuk Dr Zaliha Omar, berkata ramai pesakit tidak diberi rawatan segera kerana kebanyakan ahli keluarga panik, tidak bersedia dan tidak tahu apa perlu dilakukan apabila strok menyerang.

Perkara pertama perlu dilakukan ialah mendail talian 999 untuk mendapatkan bantuan perubatan. Pesakit strok tidak boleh sembuh tanpa bantuan keluarga. Ini sebabnya ahli keluarga perlu bekerjasama dengan pasukan pemulihan kerana melalui cara ini mereka dapat meningkatkan semangat serta keyakinan pesakit untuk berusaha melawan apa juga bentuk kesusahan akibat strok.

Malah, ramai juga pesakit sukar menerima hakikat kenapa mereka yang ‘terpilih’ mendapat strok. Di sinilah pentingnya pasukan pemulihan kerana mereka ada kepakaran seperti perunding psikologi klinikal untuk menenangkan emosi, terutama jika pesakit mengalami tekanan emosi keterlaluan.

Pasukan pemulihan ini membabitkan pelbagai bidang seperti pemakanan (bagi merancang menu sesuai bagi pesakit), pakar terapi untuk menelan makanan (ramai pesakit strok hilang upaya untuk menelan makanan) perubatan dan pemulihan, pakar pertuturan dan bahasa, kaunseling atau psikiatri.

“Sasaran pemulihan ialah menangani apa jua kesukaran yang dihadapi akibat strok — dari kepala ke hujung kaki. Proses pemulihan biasanya memerlukan tempoh panjang dan tempohnya berbeza mengikut keadaan serta kesungguhan pesakit.

“Pendekatan dan kaedah pemulihan juga berbeza antara pesakit. Pada masa sama, kita ada sasaran jangka pendek yang difikirkan boleh dicapai seseorang pesakit.

“Konsep rawatan terbaru ialah ‘sekolah berjalan’ — satu pendekatan khas untuk membantu pesakit berjalan semula. Dalam program ini, pesakit perlu berjalan di depan cermin pada jarak tertentu (dari satu meter ke dua meter bagi peringkat permulaan).

“Berjalan di depan cermin membolehkan pesakit melihat keseimbangan badan mereka. Pada masa sama, pesakit digalakkan berjalan di keliling katil dan di dalam wad.

“Bagi kes pesakit tidak boleh berjalan langsung, mereka diberi alat bantuan lain seperti kerusi roda atau tongkat. Sasarannya ialah menggalakkan mereka bergerak kerana otot yang tidak digunakan menjadi kaku dan keras,” katanya.

Gangguan aliran darah boleh berlaku pada salur darah kecil atau besar. Tidak kira salur darah mana yang terbabit, setiap pesakit masih ada harapan sembuh.

Namun jika salur darah besar tersumbat atau terganggu, peratus kematian lebih tinggi. Secara umumnya pesakit strok yang mengalami masalah pada salur darah kecil menunjukkan peratus pemulihan lebih tinggi.

Atas permintaan, pasukan terapi ini juga boleh datang ke rumah untuk mengajar pesakit kaedah betul untuk bergerak, contohnya bangun dari katil atau kerusi bagi mengelak bahu terseliuh dan kesakitan seperti kerap dialami kebanyakan pesakit.

Pesakit strok juga mudah mengalami kekeliruan dan mengambil masa lama untuk belajar semula. Jadi ahli keluarga dan penjaga perlu banyak bersabar kerana dengan bantuan serta dorongan anda, pesakit strok boleh kembali bekerja.

“Tidak salah jika mahu mendapatkan terapi alternatif, tetapi pesakit perlu tahu bila ia sesuai dilakukan dan apa langkah berjaya perlu diambil supaya ia tidak memperlahankan proses penyembuhan. Sebaik-baiknya berbincang dulu dengan pasukan pemulihan anda sebelum memulakan terapi alternatif,” katanya.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

Reactions:

0 pendapat: