Recent Posts

Jumaat, 6 Februari 2009

Perak tanah tumpah darahku

Pada petang 6 Februari 2009, lebih kurang jam 4 petang, Perak telahpun mempunyai Menteri Besar yang baru. Datuk Dr. Zambry Abd Kadir yang telah dicalonkan sebulat suara oleh Umno yang diketuai oleh DS Najib selaku Pengerusi Umno Perak akan memulakan 'tugas' berkuatkuasa tarikh angkat sumpah pada hari itu. Suasana di luar istana Iskandariah yang menjadi tempat majlis angkat sumpah hari ini telah menjadi medan perhimpunan rakyat yang membantah cara perlantikan dan pertukaran kuasa dari kerajaan PR ke BN dengan alasan yang pada pendapat sesetengah pihak tidak munasabah, mengarut, penuh dengan konspirasi dan tipu helah.


Telah dilaporkan dalam media massa bagaimana pihak berkuasa terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan himpunan rakyat yang telah menghalang kenderaan VIP termasuk konvoi Raja Muda Perak, Dr. Nazrin ke upacara angkat sumpah itu. Adalah dapat diselami sendiri oleh saya, salah seorang rakyat Perak bahawasanya ada sesuatu yang tidak kena tentang keseluruhan drama politik yang berlaku di Perak ini. Banyak persoalan dan keliruan yang berlegar-legar di kepala tentang apa yang telah berlaku dengan pantas sekali dalam tempoh 2 hingga 3 hari ini, semuanya bermula dengan campurtangan DS Najib dalam percaturan di negeri Perak.

Bermula dengan 'kehilangan' 2 ADUN PKR Changkat Jering dan Behrang (yang telah didakwa atas kesalahan rasuah), perletakan jawatan DS Tajol Rosli, kisah Datuk Nasaruddin dan keluarnya ADUN Jelapang dari DAP telah menggugat kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang diketuai oleh DS Ir.Nizar sehingga perlunya beliau setelah mengambil kira semua aspek, memohon PS Sultan untuk membubarkan ADUN bagi membolehkan satu pilihanraya negeri yang adil yang ditentukan oleh rakyat. Namun, keputusan yang dibuat pihak istana tidaklah seperti yang dijangkakan, walaupun pada pendapat saya, tidak mungkin PS Sultan akan membubarkan DUN kerana sebab-sebab tertentu.

Tidak pernah selama ini, satu keputusan oleh PS Sultan telah diingkar, dicemuh, dan dihina oleh sebilangan rakyatnya sendiri. Komen-komen di laman-laman web yang pada mulanya meminta PS Sultan memikirkan sewajarnya untuk membubarkan DUN untuk memberi laluan pilihanraya yang baru yang lebih 'segar' mengikut keadaan semasa, tetapi keputusan telah dibuat, DS Ir.Nizar diminta melepas jawatan secara sukarela atau secara automatik telah memarakkan kemarahan sebilangan rakyat. Pada pendapat saya, majoriti rakyat Perak mungkin tidak menyetujui peralihan kuasa ini dan mahukan pilihanraya semula. Lebih adil, lebih berwibawa, berintegriti. Biarlah rakyat menentukan, bukannya individu tertentu. Bukankah makna demokrasi itu sendiri ialah kekuasaan rakyat, bukannya kekuasaan pemimpin? Oleh kerana kita tinggal di negara Malaysia yang aman damai ini, saya percaya mungkin majoriti rakyat Perak tidak menunjukkan protes secara fizikal, tetapi lebih kepada protes secara senyap.

Adalah diyakini juga oleh sebilangan rakyat Perak, jika dilihat dari rekod PRK yang lalu yang mana keputusannya tidak menyebelahi BN, adalah salah satu faktor yang kerajaan BN sersungguh-sungguh tidak setuju dengan apa-apa keputusan supaya diadakan pilihanraya sekali lagi. Adalah diyakini juga, jika diadakan pilihanraya, Pakatan Rakyat MUNGKIN akan memperoleh lebih banyak lagi kerusi daripada sekarang, dan majoriti 2 /3 adalah sesuatu yang tidak mustahil diperolehi Pakatan Rakyat. Ini membimbangkan BN. Pihak Pakatan Rakyat sangat yakin dengan keputusannya membubarkan DUN kerana percaya majoriti rakyat masih bersamanya.

Drama politik Perak masih belum berakhir. Dengan hanya agihan kerusi DUN yang tipis, BN dan PR masing-masing 28 kerusi, dan wakil BEBAS (bebas dengan menyokong BN?) sebanyak 3 kerusi sudah cukup meyakinkan PS Sultan setelah membuat perjumpaan dengan DS Najib dan orang-orangnya bahawa DS Ir.Nizar hilang majoriti DUN. Tetapi keputusan DS Ir. Nizar tidak berganjak dari jawatannya menunjukkan beliau mempunyai alasan tersendiri dengan nasihat dari pelbagai pihak dalam menyatakan kebenarannya dalam hal ini. Perkara 2 ADUN PKR yang keluar parti dan arahan kekosongan kerusi oleh Speaker telah difailkan di mahkamah. Ada juga tindakan untuk menyaman PS Sultan dan kerajaan baru yang didakwa telah menyalahi perlembagaan.

Adakah Perak sekarang mempunyai 2 kerajaan?

Apakah kesudahannya?

Bagaimana dengan kedudukan MB Baru dan MB Lama?

Diharap semua rakyat Perak bersabar. Pasti ada hikmah di sebalik segala perkara yang berlaku di Perak. Ingatlah, firman Allah :

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya
akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!.
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah,
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" Az Zilzal, 7 - 8.

Yakinlah dengan kehendak Allah. Sesungguhnya perancangan Allah itu lebih baik. Janganlah kita menghina dan mencerca Sultan atas keputusan yang diambil baginda. Fikirkanlah secara rasional dan sedalamnya, apa yang tersirat. Jika diteliti, keputusan PS Sultan ini tidak harus dilihat dalam konteks keadaan semasa, perlu dilihat dalam suatu jangkamasa yang panjang. Apapun, kelebihan kini adalah di tangan PR dan ianya perlu diterjemahkan pada pilihanraya akan datang. Ingatlah...

"Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan
rancangan jahat. Oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah
jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Dia mengetahui
apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri dan orang-orang yang kafir
akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan yang buruk)
pada hari akhirat kelak." Ar Ra'd. 42.

Dan ingatlah pesanan PS Sultan kepada DS Ir. Nizar...

" kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. "

Reactions:

2 pendapat:

Ghuraba tidak akan tunduk melainkan kepada Allah. Ini adalah motto kehidupan kami. Apabila ditanya mengenai tyrani, kami tidak peduli kerana kami adalah tentera biasa Allah yang sudah pasti haluannya.. kami redha pada pemberian ini ya Allah. Tetapi kami bukan hamba kepada manusia hatta Sultan sekalipun! Kami hamba mu ya Allah.

Sultan di zaman dahulu bijaksana. Apabila ada dua pemuda ingin mengahwini puteri Tuanku. Tuanku titahkan supaya dua pemuda itu bertarung tenaga didalam arena pertarungan. Siapa yang menang boleh kahwin dengan puteri Tuanku dan diangkat menjadi pembesar negeri.
Sultan di zaman globalisasi ini, apabila ada dua pemuda hendak mengahwini puteri Tuanku (iaitu hendak mentadbir negeri) Tuanku yang bodoh ini terus memilih tanpa pertarongan. Pemuda yang korup yang disokong oleh dua orang lanun dan dipukau oleh seekor katak. Nampaknya Sultan zaman dahulu lebih cerdik. Sungguh malanglah rakyat di Negeri itu mendapat Sultan yang amat bodoh dan zalim.

Rakyat Yang Malang.