Recent Posts

Sabtu, 21 Februari 2009

Mengapa kaki ponteng bosan berada di sekolah?


Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

BERMULA dengan ponteng sekolah. Kemudian secara berkumpulan terlibat dengan gejala merokok. Tidak cukup dengan itu, pelajar yang ponteng ini juga terdorong untuk melakukan jenayah kecil seperti curi motosikal, penagihan dadah dan paling membimbangkan kes jenayah rogol dan sebagainya.

Walaupun gerakan 'memburu' kaki ponteng ini dilakukan secara rutin oleh pelbagai agensi penguatkuasaan termasuklah daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), kehadiran mereka kini mudah dihidu golongan kaki ponteng kerana keterampilan penguat kuasa itu yang senang dikenali.

Kebimbangan ibu bapa terhadap pelajar yang ponteng sekolah ini bertambah apabila kelmarin, 14 pelajar di Rembau, ditahan pihak polis kerana ponteng dan berpeleseran tanpa arah.

Jangan tidak percaya, suatu hari nanti kaki ponteng ini akan menubuhkan kumpulan samseng sendiri serta menjadi perancang dalam kes ugut, buli dan samun serta menjadikan pelajar sekolah yang tidak berdosa sebagai mangsa mereka.

Perkara ini tidak boleh dipandang ringan walaupun JPNS menyatakan ia sesuatu yang serius dan wajar diberi perhatian oleh semua pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Soalnya, dasar yang dibuat oleh kerajaan melalui Kementerian Pelajaran terhadap keseriusan gejala ponteng ini hendaklah dilaksanakan dengan berkesan supaya permasalahan sosial yang lebih teruk seperti maksiat dan samseng remaja tidak berleluasa.

Dalam aspek ini juga, pihak kerajaan perlu melihat faktor modal insan yang lebih berkesan. Adakah nilai yang kita bawa itu mencukupi untuk pelajar ini merasa seronok di sekolah atau pun banyak sebab mengapa mereka bertindak untuk ponteng sekolah.

Skop ini harus dilihat secara positif kerana aspek pendidikan hari ini perlu membentuk satu perubahan yang boleh menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah dalam apa cara sekali pun.

Ia sama ada kaedah pembelajaran yang lebih menyeronokkan mahupun penyampaian yang tidak terlalu tertekan.

Hari ini, pelajar datang ke sekolah - guru bertugas akan memberi ucapan penuh ketegasan, tetapi kadang kala disertai dengan tengkingan, nasihat dengan sinis dan celoteh yang terlalu lama - membosankan, tidak ceria dan pelajar akhirnya tertekan.

Dalam bilik darjah - suasana panas, tegang, pembelajaran yang membosankan - terlalu ikut 'kata buku', guru yang terlalu garang, kurang latihan praktikal dan ini juga melemahkan semangat pelajar untuk terus kekal dalam bilik darjah.

Selepas sekolah - pelajar pula menerima pengaruh akibat persekitaran sekolah yang begitu hampir dengan proses urbanisasi dan terpikat dengan video, kafe siber dan pusat membeli belah.

Di rumah - ada pelajar tidak diberikan kasih sayang, pembelajaran terabai, ibu bapa sibuk dengan aktiviti atau bekerja, tidak ambil peduli, cepat marah, pendedahan gajet elektronik, kurang pendidikan agama dan paling malang pengaruh video lucah.

Hakikatnya, sindrom ponteng sekolah ini sudah kembali mencabar undang-undang, kecuali mereka benar-benar tidak hadir ke sekolah disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan seperti sakit.

Untuk itu, kita harus 'menjinakkan' kembali pelajar ini supaya mereka kembali menjadikan pembelajaran ini sebagai satu tanggungjawab bukan kerana terpaksa sehingga mengakibatkan mereka memilih jalan untuk ponteng seolah.

Jadi langkah berikut amat perlu diberi perhatian:

  • Menjalinkan perasaan sayang antara pelajar - konsep sayang bermakna mengambil berat, ambil tahu dan mendengar masalah, idea, pandangan mereka secara positif bukan secara sinis.
  • Menimbulkan kesedaran terhadap keberuntungan diri sendiri - sihat, lengkap anggota badan berbanding mereka yang berhadapan kecacatan (golongan yang sentiasa insaf dan mahu mencorak kehidupan secara positif)
  • Menghayati kurniaan Tuhan pada bakat yang ada dalam diri pelajar - contohnya mereka boleh berdebat, berpidato, menyanyi, mengarang, bersukan, berekreasi, keagamaan, berpersatuan - galakkan dan jangan disekat.
  • Sentiasa meminta mereka merenung kelemahan dan menyesali perbuatan. Ini perlu dibangkitkan dengan motivasi dan perubahan sikap selain mengimbangi kaedah pembentukan modal insan yang berjaya.
  • Hendaklah membawa pelajar ini melihat wawasan masa hadapan untuk memajukan diri, keluarga serta orang yang disayangi - caranya dengan membawa mereka melihat dunia luar seperti rumah anak yatim, warga emas, hospital, gotong-royong di rumah keluarga miskin dan sebagainya.
  • Melahirkan insan peka dalam setiap kehidupan.
Jika semua aspek ini dapat diaplikasikan di sekolah dengan mengetepikan sikap kerenggangan antara guru dan pelajar, kita optimis minat pelajar untuk terus berada di sekolah dan menjadikan sekolah sebagai 'rumah kedua' akan berjaya.

Maka, pemantapan disiplin pelajar tidak boleh dibuat dengan kegarangan, tetapi perlu digerakkan dengan kelembutan kerana tidak mungkin 'api disimbah dengan minyak' dan biarlah 'api itu disimbah dengan air yang jernih'.

Gerakan memburu kaki ponteng perlu dibuat dengan pendekatan yang lebih harmoni, penuh kesedaran dan keinsafan supaya pelajar yang terbabit menjadi lebih yakin bahawa di sekolah mereka tetap diperlukan, di rumah pula mereka tetap disayangi keluarga.

Utusan Malaysia 21 Februari 2009

Reactions:

0 pendapat: