Recent Posts

Khamis, 5 Februari 2009

KENYATAAN MEDIA PEJABAT D.Y.M.M. PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

“Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri semua 31 ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK itu dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.” — Bernama.

Anak Perak : 2 bekas wakil DUN dari PKR dan satu dari DAP yang menang atas kapasiti mewakili BEKAS parti masing-masing pada PRU umum lalu kini menjadi DUN Bebas dengan sokongan penuh pada BN. Apa ertinya bebas jika masih berkiblatkan satu-satu parti? alangkah kecewanya rakyat Perak yang mengundi ketiga-tiga orang ini pada PRU yang lepas. Apabila wakil BN berpaling tadah, maka akan dicanang sebagai tidak tahan berjuang, tidak bermoral, tidak beretika, dan lain-lain perkara yang tidak elok dalam slot media yang diulang tayang berkali-kali dengan ditemuramah oleh berbagai pihak. Tetapi, jika sebaliknya, mereka akan dianggap hero.

Kita mengharapkan satu lagi pilihanraya DUN yang baru, atau setidak-tidaknya mengadakan PRK bagi 3 kerusi wakil DUN yang keluar parti. Namun, Paduka Seri Sultan telah membuat kenyataan rasmi seperti di atas yang mana saya percaya tidak ramai yang setuju. Bermula dengan ADUN yang 'melompat-lompat", "perletakan jawatan" bekas MB, DS Tajol Rosli sehingga pengambilalihan jawatan Pengerusi UMNO Perak oleh DS Najib, kehilangan 2 ADUN PKR dan keluarnya wakil DAP DUN Jelapang. Namun baginda telah membuat keputusan. Titah dijunjung dan semestinya PS Sultan telah berfikir semasak-masaknya dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Saya masih menunggu,
  • Bagaimana dengan pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh 2 ADUN PKR yang menjadi ADUN Bebas itu pula?
  • Adakah mereka akan terus didakwa atas nama keadilan dan integriti dalam memerangi rasuah?
  • Adakah dakwaan mereka akan 'digugurkan'?
  • Jika digugurkan, adakah itu bermaksud segala dakwaan rasuah semasa mereka menjadi EXCO Perak adalah "sandiwara politik"?
Banyak perkara yang besar akan berlaku pada tahun ini. Tunggu dan lihat.

Reactions:

2 pendapat:

Tuanku,
Patik, sebagai anak jati Perak mohon Tuanku timbang balik keputusan agar dapat sekiranya Tuanku perkenankan agar DUN Perak dibubarksn supaya hak memilih kerajaan Perak diberi balik kepada kami. Patik percaya, Tuanku sebagai Sultan yang cintakan keadilan, sewajarnya apa sahaja keputusan Tuanku mesti untuk kepentingan Rakyat. Apatah lagi dalam kes ini majoriti rakyat mahukan peluang memilih diberikan balik kepada mereka. Patik kata majoriti adalah berdasarkan rakyat Perak telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihanraya 8 Mac 2008.
Berilah peluang dan ruang kepada kami sebagai rakyat yang berdaulat dan hidup dalam keadaan serba daif untuk memilih pihak mana yang kami mahu untuk mentadbir kami di negeri Perak ini.
Sementara waktu kami rakyat Perak mohon majlis angkat sumpah di tangguhkan atau dibatalkan supaya suasana lebih licin untuk Tuanku menimbang kembali keputusan Tuanku.

2011, kes rasuah 2 adun? seperti dijangka...senyap.