Recent Posts

Sabtu, 7 Mac 2009

Kembalikan rotan kepada guru


MASALAH buli, pukul dan gangsterisme semakin parah. Keadaan ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena kepada sistem pelajaran di sekolah. Ada beberapa perkara yang menyebabkan perkara ini semakin kronik kebelakangan ini. Adakah sekolah hanya tempat pembelajaran tanpa pendidikan?

Kuat saya ingin nyatakan di sini bahawa sekolah sudah kurang semangat pendidikan. Beban masalah disiplin ini tidak wajar diletakkan kepada guru disiplin atau guru sekolah sahaja.


Guru di sekolah kini tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Sejak hukuman rotan tidak lagi dibenarkan. Anak murid zaman ini semakin naik kepala. Mereka tidak lagi dapat dididik jika hanya dengan suara sahaja.


Akhirnya anak remaja ini menjadi ego. Apa yang guru boleh buat? Kita sejak zaman berzaman dahulu telah dididik dengan rotan sebagai 'alat bantuan mengajar' di rumah. Anak remaja kini begitu kurang ajar menghina gurunya sendiri. Memperlekehkan gurunya sendiri.

Umur sekitar 13-17 tahun adalah saat remaja sedang mencari identitinya. Di saat ini remaja sedang berusaha untuk menonjolkkan dirinya di kalangan rakan-rakan. Itu adalah fitrah biasa. Malangnya ramai anak remaja gagal untuk menonjolkan dirinya secara positif. Akhirnya anak remaja ini berusaha bersungguh-sungguh menonjolkan diri mereka sebagai juara dalam melanggar undang-undang sekolah.

Anak remaja ini berasa bangga apabila berani mencuba menghisap rokok, berani mencuri, berani mempunyai teman wanita, berani mencuba ektasi, berani mencuba dadah, gam, syabu dan yang paling parah ada di kalangan mereka berani meninggalkan solat. Paling menyedihkan apabila al-Quran tidak dijadikan panduan utama dalam mencari penyelesaian masalah ini.

Guru-guru perlu diangkat maruah mereka. Kedudukan guru yang mulia wajar diangkat kembali.

Kembalikan kuasa merotan kepada guru. Remaja kini semakin berani kerana guru sudah hilang 'alat bantuan' mengajar itu.

FIRDAUS KHAIRI

Putrajaya

Forum @ Utusan Malaysia Online. 7 Mac 09

Anak Perak : Kadang-kadang saya ada bertanya pada pelajar, boleh tak saya merotan kalau mereka melakukan kesalahan? Ramai yang diam... tapi saya kata diam tanda setuju, maka agaknya mereka setujulah begitu? Mereka hanya ketawa... Saya nyatakan lagi, hukuman, denda, rotan dan sebagainya hanya dilaksanakan jika mereka bersalah, bukan suka-suka. Itu tandanya guru sayang pada mereka. Kalau tidak, sudah tentu guru diam saja, ha, buatlah apa kau orang nak buat, janji kerja aku siap. Takkan sampai macam itu baru mereka rasa bebas? Tak dinafikan walaupun ada arahan guru tidak boleh menghukum pelajar, tetapi kadang-kadang saya 'terlepas' juga hayunan tangan, buku atau apa-apa yang boleh dicapai dek tangan ini ;). Tapi akhirnya, saya nyatakan dengan baik pada mereka, kenapa, mengapa, apa, kerana setiap tindakan berasaskan setiap sebab. Pada yang lain-lain, jadikan pengajaran. Kalau dah dua tiga kes tu terpaksalah dirujuk pada pengetua atau PK.

Kalaulah kesalahan pelajar diberikan hukuman dan demerit. Kalau kebaikan pelajar pula hendak diberi apa? Cikgu kena bijaklah... tak adillah kan, kesalahan diberi hukuman, kebaikan tidak dibalas. Cukupkah dengan kata-kata pujian dan merit? Ini yang saya rasa tidak adil. Guru juga kena rajin-rajin beri merit daripada demerit, barulah pelajar rasa dihargai. Sekolah saya sekarang, alhamdulillah, tidaklah ada masalah besar dalam disiplin, comforming school, (senang cerita sekolah cina). Sekolah kerajaan? Melayu? Islam...dengar berita-berita ini membuatkan hati bertanya, apa yang jadi bila aku dah pulang ke semenanjung nanti, macam mana agaknya keadaan sekolah nanti...Allahualam..

Reactions:

0 pendapat: