Recent Posts

Sabtu, 7 Mac 2009

Cara mendisiplin pelajar sekarang tak sesuai - Alimuddin

KUALA LUMPUR 6 Mac - Kementerian Pelajaran akan mengubah suai beberapa perkara dalam peraturan sekolah untuk disesuaikan dengan keadaan semasa bagi meningkatkan disiplin pelajar.


Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, perubahan perlu dilakukan kerana cara yang diguna pakai sekarang untuk mendisiplin pelajar tidak lagi sesuai.

Sehubungan itu, jelas beliau, pertemuan dan perbincangan akan diadakan dengan beberapa pihak yang berkaitan bagi mencari kaedah terbaik menangani kes buli di sekolah.

Katanya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin serta Ketua-Ketua Polis Negeri minggu depan bagi membincangkan isu tersebut.

"Beberapa pendekatan baru harus diambil supaya kita lebih dekat dengan pelajar serta tindakan yang lebih keras dan setimpal dengan kesalahan pelajar dapat dikenakan.

"Saya dapati peraturan ada, tetapi pelajar semakin bertindak ganas seperti pergaduhan yang berlaku di sekolah di Pasir Puteh, Kelantan semalam, sebab itu kita perlu cari pendekatan baru," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, antara agenda yang akan dibincangkan dalam pertemuan dengan pihak polis ialah langkah drastik yang perlu diambil untuk menangani isu pelajar samseng dan meminta polis bekerjasama secara langsung dalam menangani gejala tersebut.

Sementara itu, menurut Alimuddin, beliau akan melawat sekolah di Pasir Puteh, Kelantan Ahad ini bagi melihat keadaan pelajar yang dilibas dengan senjata kecil dikenali 'lawi ayam' itu selain mengetahui punca kejadian.

Semalam, akibat menjeling, seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Pasir Puteh, Mohd. Hamirul Mohd. Affandi, 14, dilibas dengan lawi ayam oleh dua pelajar senior.

Dalam pada itu, Alimuddin turut meminta Pegawai Pelajaran Daerah supaya turun padang membantu pihak sekolah dalam menangani masalah atau isu yang timbul di sekolah-sekolah di kawasan masing-masing.

Ditanya mengenai cadangan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya diwujudkan program khas untuk tangani gejala buli, beliau berkata, kementerian menyokong cadangan itu dan akan melihat semula program pelajar sedia ada.

Beliau turut menyarankan pihak sekolah supaya memperbanyakkan aktiviti seni seperti, muzik, lakonan dan tarian bagi menarik minat pelajar untuk terlibat dengan aktiviti yang lebih berfaedah.

Utusan Malaysia Online 7 Mac 09

0 pendapat: