Recent Posts

Isnin, 29 September 2008

Catatan Balik Raya 2008

28 September 2008, 3 hari sebelum Aidilfitri aku selamat tiba di kampung. Seperti postingku yang sebelumnya, perancangan awalku untuk balik beraya memang tiada. Namun atas 'sebab-sebab tertentu' aku ambil keputusan untuk pulang. Sememangnya keputusan aku amat tepat ;)

Cuti perayaan yang bermula 27 sehingga 5 Oktober 2008 selama seminggu ini ku ambil peluang untuk bersama keluarga. Perjalananku bermula pada petang 27 September 2008 jam 4.00 petang dari kediamanku di Sarikei ke Sibu sejauh lebih kurang 80 km dengan memandu kenderaan sendiri. Perjalanan ke Sibu mengambil masa lebih kurang 1 jam dengan kelajuan sederhana. Hendak bawa laju-laju pun tak boleh, keadaan jalan bukanlah baik, lagipun asih awal kerana penerbanganku pada jam 8.25 malam.

Sampai di Sibu, aku terus ke rumah temanku, Fred. Fred sudah sedia menunggu kedatanganku. Hajatku untuk minta tolong Fred hantar aku ke lapangan terbang dan tolong tumpang 'parking' kereta burukku di rumahnya. Sememangnya Fred tidak keberatan, lagipun pada hari itu dia memang cuti. Terima kasih Fred! Nanti ku pulai ku berik kuih raya banyak-banyak! ;)

Fred menghantarku ke Lapangan Terbang Sibu tidak lama selepas itu. Perjalanan dari rumahnya ke lapangan terbang mengambil masa lebih kurang 20 - 25 minit. Lokasi lapangan
terbang dari pusat bandar memang agak jauh. Jika mengambil teksi, tambangnya ialah sebanyak RM35.00.

Sampai di LTS lebih kurang pukul 6.00 petang. Suasana di lobi lapangan terbang nampaknya tidaklah sesibuk yang disangka. Biasa saja. Tidak ramai orang. Aku terus pergi ke kaunter pendaftaran masuk. Tetapi masih awal lagi. Untuk daftar masuk, Air Asia mengkehendaki pelanggan daftar masuk sekurang-kurangnya 45 minit lebih awal.

Sekarang baru pukul 6 petang, bertolak pukul 8.25 malam. Masih ada 2 jam lagi. Jadi aku pun terus ke tingkat satu di mana terletaknya cafe. Cafe pun tidak ada orang, dalam hatiku berbisik, baguslah tidak sibuk sangat. Aku terus ke kaunter membeli makanan untuk berbuka nanti. Nasi lemak dengan air tin Coca-cola. Harga = RM7.50! (kalau makan di kedai mamak ni memang penuh perut!) Sementara aku menunggu waktu berbuka puasa, aku belek-belek telefon bimbitku, bersms dengan rakan-rakan sekejap dan telefon emak memberitahu 'perkembangan' ku. Kaunter di Cafe mulai sibuk dengan pelanggan-pelanggan, (nasib baik cepat order). Tepat jam 6.30 petang,aku pun berbuka puasa. Berehat-rehat sekejap, pada jam 7.25 malam aku pun turun untuk daftar masuk dan terus ke ruang menunggu. Orang semakin ramai. Kebanyakkan yang aku dapat kesan, orang semenanjung, paling tepat sekali, guru. Sekilas pandang dah tahu dah ;) Masing-masing nampaknya bawa kotak-kotak dan bungkusan-bungkusan plastik yang pelbagai, agaknya mesti kek lapis sarawak ni, sampaikan pegawai polis lapangan terbang yang memeriksa bagasi melalui pengimbas pun tersenyum lebar sambil berseloroh pasal kek lapis tu.

Tunggu punya tunggu, jarum jam di tangan sudah menunjukkan jam 8.25 malam. Tetapi pesawat tak kunjung tiba pun? Dalam hati aku, nampaknya delaylah agaknya di KL. Penumpang-penumpang lain pun nampak gelisah. Lebih kurang 15 minit selepas tu barulah pesawat dari KL tiba. Tetapi penumpang lain awal-awal lagi dah beratur di Pintu 4, maklumlah nak dapat tempat duduk dengan kawan-kawan. Kadang-kadang kena berebut macam naik bas pula nak dapatkan tempat duduk (bas pun ada nombor tempat duduk). Kepada yang mengembara sendirian (macam aku) tidak kisahlah hendak duduk di mana pun janji ada tempat untuk duduk. Jadi biarlah mereka beratur.

Sudah berada di perut pesawat Airbus A320. Nampaknya penerbangan ini tidaklah penuh. Banyak lagi tempat duduk yang kosong. Nampaknya selesa aku tidur kali ini, ketiga-tiga
tempat duduk aku yang kebas ;).

Tepat 1 jam 55 minit perjalanan, aku pun selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Terminal Tambang Murah LCCT-KLIA. Sampai sahaja di bangunan terminal, terus ke kaunter bas, bertanya kalau ada perjalanan terus dari LCCT ke Ipoh. Banyak lagi! tambangnya RM40, Plusliner. Terus beli. Pergi ke tempat menunggu bas nombor 6.

LCCT nampaknya sedang sibuk dalam projek pembangunan dan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi keselesaaan penumpang. Memang tidak dapat dinafikan, kesibukan LCCT melebihi KLIA. Siang dan malam sibuk mengalahkan KLIA sendiri. Jadi keputusan kerajaan menambahbaik dan memperbesarkan lagi terminal LCCT adalah keputusan yang baik.

Tiba sahaja di lorong 6, bas sedang menunggu. Ada seorang penyelia dan seorang pemandu sedang menunggu di luar. Bas kosong. Setelah tiket dikoyak, aku pun naik dengan beg aku sekali.

" Duduk la mana-mana dik, jangan duduk kat tempat pemandu udah.." katanya mesra.

Aku pun jawab " nanti kalau saya bosan saya duduk situ lee..".

Hampir 10 minit menunggu, tiba-tiba penyelia bas naik ke atas mengajakku minum di cafe berdekatan. Aku pun tak berlengah terus menerima jemputan tanpa banyak tanya, bosan juga menunggu. Sudahlah tadi penerbangan delay. Jadi kami bersama dengan pemandu bas pun ke cafetaria berdekatan untuk minum. Hmm.. cafe baru. Besar, luas, selesa, banyak pilihan, banyak kerusi! bisikku.

Penyelia tu memperkenalkan dirinya sebagai Muhammad. Ramah. Setelah dia memesan teh tarik 3 cawan (dia belanja), kami pun berjalan ke meja berhampiran. Memang ramah orangnya. Dia pun mula lah bertanya pada ku dari mana nak kemana. Aku pun beritahulah.

Rupa-rupanya Abg Mat ni seorang bekas polis yang pernah berkhidmat 10 tahun di Sarikei! Banyak juga pengalaman yang diceritakannya. Abang pemandu tu diam saja kusyuk mendengar
sambil menyampuk dan ketawa kecil sesekali dua.

Habis saja minum kami pun kembali ke bas. Tunggu kalau-kalau ada penumpang lain. Tiba-tiba ada seorang lagi penumpang hendak ke Ipoh. Muka macam kenal...entahlah. Jadi kami berdua sajalah, tambah dengan abang pemandu tu, bertiga lah kami dalam bas ekspress 40 tempat duduk tu!

Sebelum bertolak ke Ipoh, Abg Mat sempat menyuruh aku mencari kawan lamanya di Sarikei bernama Maidin, tinggal di Kampung Seberang, bekas polis juga sepertinya berpangkat Koperal. Kata Abg Mat, rupanya macam mamak, rambut kerinting. InsyaAllah Abg Mat!

Lebih kurang pukul 12.00 tengah malam, kami pun bertolak ke Ipoh. Seronok juga bas tak ada orang ni. Aku pun duduk kat depan sebelah pemandu sambil bersembang sepanjang perjalanan. Dah lama tak duduk di depan sebelah pemandu sambil sembang-sembang hilangkan bosan. Keadaan lebuh raya biasa. Kenderaan tidaklah terlalu banyak. Tetapi, ramai juga kelihatan konvoi motosikal kapcai, mungkin pelajar-pelajar ipta balik kampung. Tengah malam! kalau konvoi ramai-ramai tidak apa lah. Terperasan beberapa buah motosikal di tepi lebih raya, kebocoran tayar agaknya.

Tepat pukul 3 pagi, kami pun sampailah ke Terminal Bas Ekspress Medan Gopeng. Selepas mengucapkan selamat hari raya pada abang driver tu, aku pun terus ke kaunter teksi. RM50. Tak apa lah, janji sampai di rumah. ;)

Sampai di rumah, terus bersahur. Penat tak terasa. Dapat juga peluang bersahur dengan ibu, berbekal puasa berbaki 3 hari dengannya. Itulah sahaja catatan perjalanan balik kampung sempena aidilfitri tahun ni. Tak teringat pula aku hendak mengambil foto kenang-kenangan sepanjang perjalanan aku balik ni dengan telefon K850i aku ni! Rugi-rugi..Tak teringat pula nak berblog. Takpe-takpe, nanti catatan akan datang blog akan dihiasi dengan gambar pula.

SELAMAT HARI RAYA

Anak Perak, 29 September 2008.

0 pendapat: