Recent Posts

Isnin, 22 September 2008

Iklan Raya Petronas 2008... Sinonim diriku...

Iklan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2008 dari Petronas memang bagus. Tepat kena pada batang hidung ku. Kenapa? lihatlah sendiri di sini.

Kenapa ku katakan sedemikian? senario serta watak yang dilakonkan begitu sinonim dengan kehidupan ku. Makcik tua yang tinggal berseorangan, itulah ibuku, serta anaknya yang kerja di perantauan, itulah aku.

Ibuku tinggal seorangan di kampung sejak kematian bapaku 16 tahun lalu. Pada ku, dia ibu dan dialah juga bapa ku. Sejak kematian bapaku, dialah yang memberikan ku sepenuh perhatian dan kasih sayang tanpa berbelah bahagi, sehinggalah aku berjaya dalam kerjaya ku sekarang.

Dialog yang paling menyentuh perasaanku, di kala si ibu itu kerapkali memberitahu anaknya supaya tidak risau akan keadaan dirinya. Inilah yang sering diucapkan oleh ibu ku kepada ku setiap kali aku berada di kampung, atau hendak pulang ke tempat kerjaku. Inilah juga pesanan yang ku terima apabila bercakap di telefon dengannya. Sungguh aku tersentuh hati...

Si anak juga sering bertanya kepada ibunya, adakah ibu baik? ibu sihat? ibu tak apa-apa? kebetulan.... inilah juga pertanyaan yang sering aku ajukan pada ibu. Sudah tentu sekali ibuku dengan yakin menjawab semuanya baik-baik belaka. Namun, aku tahu jauh di sudut hatinya, aku tahu, bukan senang untuk berpisah dengan anaknya yang selama ini, seperti kata pakcik yang si anak jumpa di dalam hotel, tak sampai hati nak tinggalkan, kalau matanya tak tengok, telinganya tak dengar, sudah tentu dia tidak senang hati.

Seringkali jika aku pulang ke kampung, aku mesti sibuk dengan hal-hal lain. Sepatutnya aku mengambil peluang masa cuti yang diberikan untuk bersama ibuku, menemaninya, melayannya dan mengikut kehendaknya. Tinggalkanlah soal-soal yang lain itu. Masa yang ada inilah akan ku gunakan dengan sebaik mungkin.

Sebenarnya, jika mengikut perancangan asal, aku tidak balik ke kampung untuk beraya pada tahun ini dengan alasan kewangan dan tempoh masa yang singkat sahaja lagi untuk ku balik pada cuti hujung tahun nanti. Tetapi, entah mengapa, hati ini terasa agak resah, gelisah, ditambah pula dengan nasihat dari rakan-rakan, terutama dari seorang 'kakak senior' di tempat kerjaku. Aku nekadkan juga untuk balik pada tahun ini, dan pada kelmarin, aku telah menempah tiket untuk balik kampung beraya dengan ibuku. Janganlah berkira sangat pasal tambang, bak kata ayah angkatku, duit boleh dicari.

Sejurus selepas itu, aku menghubungi ibuku, menyatakan yang aku akan pulang beraya bersamanya. Terdengar jelas pada suara tua nya menunjukkan betapa gembira hati seorang ibu setelah mendapat tahu anaknya akan pulang meraikan Aidilfitri bersamanya tahun ini! Akhirnya, hati dan perasaan seorang ibu tidak dapat dibendung lagi. Mana perginya kenyataan ibu yang memberitahuku supaya tidak risau tentang dirinya? sememangnya itu semua hanya untuk penyedap hatiku. Dan aku kini tahu aku telah membuat keputusan yang betul.

Iklan Raya Petronas yang disiarkan baru sahaja ku tonton. Memang tidak puas aku menonton berkali-kali, dengan perasaan sedih campur gembira di dalam hati. Tapi, aku rasa jika aku meneruskan perancangan asalku untuk tidak pulang berhari raya dengan ibu, aku rasa mungkin aku menyesal tak sudah ;). Setelah ku lihat iklan itu, dengan keputusan nekadku, aku rasa akulah orang yang paling bahagia dalam dunia!


" Mak ok ke?"

"Apasal ni Man, mak kan O.K"

"Mak tau tak.... Man sayang mak!"

"Mak tahu.... apa Man dah buat" :)

Terkebil-kebil si anak...


Ibu, nantikan kepulanganku....


Anak Perak di perantauan..

0 pendapat: