SEBAGAI orang lama dalam profesion perguruan, saya melihat 'kebanjiran' permohonan untuk memasuki institut pendidikan guru (IPG) pada masa ini mengundang kebimbangan mengenai kualiti guru yang bakal dilahirkan nanti hasil lambakan itu.
Ia kerana kekangan pengangguran masa kini adalah menjadi salah satu puncanya sehinggakan pelajar mendapat 10A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut bersaing memasuki IPG.
Kerjaya guru terlalu berbeza dengan segala kerjaya lain dan ia membabitkan kombinasi emosi, tenaga, suara, kreativiti, keberanian, keyakinan, sikap dan pengorbanan yang maksimum agar lahir murid cemerlang, berketerampilan dan berakhlak mulia.
Apabila saya membaca keluhan seorang guru pelatih IPG yang mempersoalkan pengiktirafan ijazah keluaran IPG dan dia bimbang menjadi guru bergaji bertaraf SPM, terus terpacul pada benak fikiran saya apakah sikap sedemikian patut ada pada seorang guru pelatih?
Belum apa-apa lagi sudah 'mendendangkan lagu' gaji yang tinggi. Tidak terfikirkah calon guru ini betapa bertuahnya dia berbanding ratusan ribu lepasan SPM yang gagal memasuki IPG? Sepatutnya sebagai guru pelatih, tanamkan fikiran positif dan bertekad untuk menjadi guru cemerlang tanpa memikirkan lagi persoalan mengenai ganjaran bakal diperoleh.
Lupakan sementara soal gaji. Tumpukan kepada pengajian anda di IPG serta sediakan bekalan perlu untuk latihan mengajar di sekolah nanti.
Saya kadang-kadang terkilan melihat kerenah guru pelatih ketika ke sekolah untuk latihan mengajar. Sebahagian mereka tidak menunjukkan kecemerlangan diri sebagai guru pelatih. Ia kerana ketika era saya sebagai guru pelatih, ketika latihan mengajar di sekolah kami menjadi amat popular kepada pelajar dan berkotak hadiah saya bawa balik pada hari terakhir saya di sekolah tempat saya berpraktikum.
Hari ini, sebilangan guru pelatih yang mengikuti latihan mengajar di sekolah seperti tidak disedari akan kehadiran mereka. Persediaan mereka untuk mengajar adalah sambil lewa dan tidak kreatif tanpa bahan bantuan mengajar (BBM) kecuali 'cakap' serta 'kapur' dan hanya apabila ada pensyarah membuat pemantauan, barulah kelam-kabut menyediakan bahan berkenaan.
Ini semua menyebabkan 'era emas' guru pelatih semakin hilang lantaran mereka tidak lagi diminati murid. Malah, yang lebih tidak elok dipandang mata, ada guru pelatih berani tidur di perpustakaan pada waktu persekolahan, datang lewat, tidak menulis ringkasan mengajar, tidak mahu membabitkan diri dalam aktiviti bukan akademik sekolah dan ada yang berani ponteng mengajar dengan pelbagai alasan.
Ini semua adalah cabaran perlu dihadapi penemuduga dalam memilih calon guru sesuai dan layak untuk bergelar sebagai seorang guru. Walaupun semua ini nampak sukar, banyak kaedah boleh digunakan untuk memilih calon guru terbaik.
Saya sendiri pernah menghantar cadangan melalui e-mel kaedah pemilihan guru pelatih kepada Bahagian Pendidikan Guru dan berharap ia dapat dilaksanakan.
Harapan saya pada sesi pengambilan calon guru yang bakal diadakan tidak lama lagi, elemen berkesan digunakan agar IPG tidak tersalah pilih calon guru yang tidak berminat untuk menjadi pendidik.
IRMAZ DINI,
Pendang, Kedah
Dipetik dari Berita Harian Online. Ruangan Surat.
Anak Perak : Ajenyer benor....
1 pendapat:
jangan risaulah wahai saudara/ri..bahagian pendidikan guru mempunyai kaedah dan cara yang efektif untuk memilih calon-calon yang mampu menjaga dan memartabatkan profesion keguruan. ups perlu diingat.. kemasukan ke IPG bukan hanya mereka yang lepasan SPM...but ada juga dari kalangan GRADUAN... kalau saudara/ri sendiri merupakan guru pelatih lepasan spm yang menuntut selama 5 tahun di IPG anda akan berasa sangat bertuah kerana pakej untuk membentuk sahsiah guru dan peribadi terpuji dapat dibentuk dengan baik...so jangan la risau dan anda mesti yakin dengan pihak BPG. kerana pihak BPG sentiasa memperbaiki kualiti demi keperluan semasa.
Catat Ulasan